Wednesday 24 September 2014

SEDERHANA TETAPI IA PENUH DENGAN KASIH SAYANG



Seorang isteri tinggal di rumahnya bersendirian. Suami dan anaknya keluar bekerja di kebun berdekatan.

Sedang dia sibuk menyediakan makanan tengah hari datang tiga orang tetamu yang begitu tua memberi salam di hadapan rumahnya.

Setelah dia menjawab salam, dia berkata "Saya tidak dapat menjemput tuan tuan masuk ke dalam rumah, kerana suami saya tiada. Sudikah tuan tuan duduk di halaman rumah sementara menunggu suami dan anak saya pulang?"

Salah seorang daripada mereka berkata, "Tidak mengapa, biar kami menunggu di luar. "

Sejurus suaminya pulang, mereka bersalaman dan para tetamu memperkenalkan diri.

"Saya kekayaan", kata lelaki pertama.

"Saya kejayaan", kata lelaki kedua.

"Dan saya pula kasih sayang", ujar lelaki yang terakhir.

Si suami menjemput ketiga tiga masuk, namun lelaki yang paling tua di antara mereka berkata, "hanya seorang sahaja daripada kami yang boleh masuk."

"Jadi kami terpaksa memilih antara kamu bertiga? "

"Ya", jawab mereka.

Setelah mereka berunding, si isteri mencadangkan pakcik kekayaan kerana moga dengan adanya kekayaan rumah mereka akan dilimpahi kemewahan dan mendapat apa sahaja yang mereka dambakan selama ini.

Si suami pula mahu memilih kejayaan kerana beliau rasa dengan kejayaan mereka semua anak beranak pasti akan dapat harta dan banyak lagi perkara.

Tiba tiba si anak yang dari tadi diam mencadangkan agar memilih pakcik kasih sayang.

"Biarlah kita hidup begini. Sederhana tetapi ia penuh dengan kasih sayang. Saya gembira dan rasa amat bahagia bila ayah dan ibu saling berkasih sayang dan menyayangi saya... "

Kedua-dua suami isteri itu tersentak dengan pandangan si anak yang begitu murni.

"Baiklah kita akan jemput kasih sayang masuk ke dalam rumah kita, kami memohon maaf kepada tuan tuan kerana menolak tuan kekayaan dan kejayaan kerana tuan-tuan yang telah menetapkan syaratnya," muktamad kata si ayah.

Maka tetamu kasih sayang masuk ke dalam rumah mereka, namun diiringi oleh kedua-dua orang tetamu lain. Tuan rumah terkejut melihat ketiga-tiga masuk ke dalam rumah.

"Eh, maafkan saya! Mengapa tuan-tuan semua masuk. Bukankah tadi kami hanya memilih kasih sayang? "

"Wahai anakku, jika kau menjemput kasih sayang bererti kau juga menjemput kejayaan dan kekayaan. Sudah menjadi prinsip kami, kami akan pastikan ke mana sahaja kasih sayang pergi, kami akan mendampinginya."

Mendengar yang demikian, si suami isteri dan si anak tersenyum gembira. Alhamdulillah!

*** Keluarga yang berkasih sayang mempunyai segala kebaikan. Dengan kasih sayang, kejayaan dan kekayaan akan menyusul. Jika bukan kekayaan harta, mereka akan memperoleh kekayaan jiwa atau lebih daripada itu mereka akan memperoleh keduanya sekali iaitu kaya harta dan kaya jiwa!


No comments:

Post a Comment

Before you judge, act. Before you speak, listen. Before you hate, love. Before you write, think. Before you quit, try.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...