Friday 13 September 2013

APAKAH YANG DIKATAKAN DENGAN PENGERTIAN PENDIDIKAN ANAK-ANAK?

Assalamualaikum dan selamat sejahtera...




Apakah yang dikatakan dengan pengertian pendidikan anak-anak? Yang pastinya terdapat pelbagai pengertian tentang pendidikan. Bagi memastikan kandungan dan kaedah yang digunakan tidak keluar daripada garisan pendidikan yang telah digariskan oleh Islam.

5 Istilah Dalam Pendidikan Islam :

  • at-tarbiyyah
  • at-ta'lim
  • at-tadris
  • at-ta'dib
  • at-tahzib
Terdapat tiga komponen bagi merumus konsep pendidikan anak-anak yang tepat yang perlu difahami daripada perspektif Islam iaitu ilmu (kandungan), anak-anak (penerima) dan proses (kaedah) yang menghubungkan antara ilmu dan insan. At-Tarbiyyah istilah yang selalu digunakan.

Definisi pendidikan menurut perspektif Islam ialah keseluruhan maksud yang terkandung dalam istilah at-ta'lim, at-tarbiyyah dan at-ta'dib.
- Persidangan Pendidikan Islam Antarabangsa Kali Pertama -

Definisi istilah at-ta'lim lebih jauh dan lebih luas daripada istilah at-tarbiyyah berdasarkan al-Quran dalam surah al-Baqarah, ayat 30 hingga 34 dan ayat 151.
- Abdul Fattah Jalal -

Istilah at-tadib lebih tepat mengambarkan pengertian pendidikan kerana istilah at-tarbiyyah terlalu luas sehingga mencakupi pendidikan untuk haiwan.
- Al-Attas -


DEFINISI PENDIDIKAN OLEH TOKOH-TOKOH PENDIDIKAN TERSOHOR

Pendidikan sebagai membina atau membentuk keperibadian yang sempurna dalam pelbagai aspek kehidupan sama ada jasmani, rohani, akal, amalan dan sosial bagi mendapatkan kebahagian dunia dan akhirat.
- Al-Syaibani -

Pendidikan ialah latihan aqliah, jasmaniah dan rohaniah bagi melahirkan manusia yang berkebudayaan tinggi, sanggup melaksanakan tanggungjawab sebagai insan yang baik dan warganegara yang berguna.
- Khursyid Ahmad -

Pendidikan ialah kaedah yang merubah dan memindah nilai-nilai kebudayaan kepada setiap individu melalui pelbagai proses dan cara bagi melahirkan manusia yang bertanggungjawab dan berbakti kepada Allah.
- Hassan Langgulung -

Pendidikan sebagai bimbingan yang diberikan oleh seseorang kepada seseorang yang lain supaya pendidikan berkembang secara maksimum sesuai dengan ajaran Islam.
- Ahmad Tafsir -

Definisi pendidikan merujuk kepada istilah at-ta'dib, pendidikan anak-anak bermakna usaha berterusan bagi membina dan mengembangkan potensi insan secara menyeluruh dan bersepadu sesuai dengan status, peranan, misi dan visi kewujudannya serta kedudukannya berdasarkan syariat Islam. Pendidikan yang ditawarkan adalah bersifat bersepadu meliputi aspek rohani, emosi, akal dan fizikal dengan menjadikan rohani sebagai teras pembinaan.

Pendidikan itu merangkumi ilmu naqli dan aqli serta ilmu fardu ain dan ilmu fardu kifayah berdasarkan perkembangan individu itu dan masyarakat setempat. Kesemua proses pendidikan akhirnya kembali kepada Allah sesuai dengan maksud proses ubudiyyah kepada-Nya dan mengenali kebesaran-Nya.



No comments:

Post a Comment

Before you judge, act. Before you speak, listen. Before you hate, love. Before you write, think. Before you quit, try.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...